Isnin, Februari 09, 2009

MENYIMPAN WANG SETIAP BULAN

Perancangan kewangan amat penting bagi sesebuah keluarga. Jika mereka mempunyai perancangan kewangan yang baik, maka mereka tidak akan mengalami masalah kewangan. Selain itu, dalam perancangan kewangan khususnya pendapatan bulanan, perlu diwujudkan peruntukan untuk simpanan. Ini bagi membantu apabila wujudnya keperluan yang memerlukan
sejumlah wang yang banyak, seperti memperbaiki kenderaan, membayar insurans dan cukai jalan, perjalanan pulang ke kampong, perbelanjaan ketika musim perayaan dan sebagainya. Dalam hal ini, berikut adalah beberapa panduan mudah untuk menyimpan wang setiap bulan.

1. Jika anda bekerja dengan seseorang majikan atau syarikat, sudah pastinya anda mempunyai akaun yang digunakan untuk pembayaran gaji. Setiap bulan wang gaji akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Apa yang perlu dilakukan untuk membuat simpanan ialah mewujudkan satu akaun lain untuk simpanan peribadi. Anda boleh meminta majikan membuat potongan gaji terus ke dalam akaun tersebut, atau anda sendiri memasukkan wang secara tetap dalam akaun tersebut secara manual. Ini memerlukan tahap disiplin yang tinggi.

2. Bagi yang bekerja sendiri, boleh gunakan kaedah perbankan auto debit. Kaedah ini sama seperti memasukkan wang dalam akaun peribadi yang berasingan.

3. Jika anda mempunyai akaun di Amanah Saham, buat potongan gaji atau perbankan auto debit secara tetap ke dalam akaun tersebut. Ini kerana anda juga boleh mengeluarkan wang apabila
memerlukan.

4. Jadi pemegang polisi insurans atau takaful hayat yang dibayar secara potongan gaji atau auto debit. Ini merupakan simpanan secara “paksa” yang boleh digunakan apabila tempohnya telah matang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan